Selamat Pengantin Baru suamiku

Pastinya ramai yang terperanjat dengan tajuk posting kali ini.

Yer ini benar. Pada hari ini, 29 April 2016, secara rasmi suamiku telah menikah seorang lagi. Jodoh pertemuan dari Allah, siapa aku atau suami untuk menolaknya. Sama sepertimana kami ditawarkan untuk menjaga Adam 9 tahun nan lalu, dan juga Latifa 1 setengah tahun lalu, kali ini sekali lagi kami ditawarkan untuk menjaga seorang lagi baby. Cuma bezanya kali ini baby ini datang dengan ibunya sekali, maka masa yang perlu aku peruntukkan untuk baby ini adalah kurang berbanding semasa menerima Adam dahulu. Walau bagaimanapun, tugas dan tanggungjawap suami akan bertambah, kerana selain dari mendapat baby sebagai anak tiri, suami juga perlu menjaga seorang lagi isteri.

Kenapa aku menerima poligami ini? Tiada seorang isteri pun yang sukacita berkongsi suami dengan perempuan lain. Walaupun sekian lama telah kucanangkan bahawa aku menerima konsep poligami, bila masanya hampir tiba, gugur juga air mata, tercalar juga hati. Jenuh juga memujuk jiwa, bahawa semua ini adalah perancangan dan aturan hidup dari Allah. Allah tidak pernah silap dalam mengatur hidup hambanya. Bila masanya tiba, barulah tersingkap hikmah dan indahnya aturan takdir Allah yang jauh lebih baik dari perancangan kita!. Semuanya kerana kita merancang dengan cita-cita. Allah mengatur dengan cintanya :). Selepas ditawarkan kepada suamiku, dalam pada aku cuba menentang, aku dikejutkan dengan berita kematian seorang teman. Beliau merupakan rakan sekelas suamiku semasa di Sekolah Menengah Taman Selayang, dan pernah menjadi rakan sepejabatku masa aku mula-mula masuk kerja. Kiranya hubungan kami berempat agak baik. Kematiannya benar-benar menginsafkanku. Suaminya pergi untuk selama-lamanya. Malah anak yg di dalam kandungan akan lahir tanpa mengenali ayahnya. Sedangkan suamiku cuma akan dipinjamkan seketika. Malah kalau ikut perancangannya, setiap hari aku masih lagi dapat bertemu dengan suamiku. Lalu aku menerima dengan redha jodoh dan perjalanan hidup yang telah ditakdirkan untukku.

Siapa yang akan mendapat kebaikan dari poligami ini?

1. Latifa – Dengan adanya ibu tiri yang masih lagi aktif menyusukan seorang baby, maka Latifa juga boleh tumpang menyusu sama. Cukup 5 kali kenyang, maka ibu tiri ini akan juga menjadi ibu susuan Latifa. Secara automatik Latifa akan mahram dengan abinya. Perancangan siapa, selepas setahun setengah aku mencuba untuk menyusukan, pelbagai ubat, pil herba, homoparti, pam dan segala usaha telah dilakukan untuk cuba menyusukan, namun gagal? Allah mendatangkan seorang untuk membantu menjadikan dia mahram dalam keluarga, lalu haruskah aku menentang dan menolaknya?

2. Ibuku – Sekian lama ibuku suka menghabiskan masanya mengaji di pondok orang-orang tua. Pernah beberapa kali aku mengajaknya tinggal bersama-samaku, namun alasan yang sama diberikan. Bila aku dan suami kerja, anak2 sekolah, dia tetap seorang di rumah. Namun sebulan sebelum tarikh pernikahan yang dicadangkan ibuku sakit pinggang. Sakit sangat sampai tidak mampu berjalan. 2 minggu ibuku tinggal dengan abangku yang sebenarnya adalah berstatus anak tiri kepada ibuku. Selebihnya ibuku tinggal dengan adik-adiknya. Aku belum mampu nak membawa ibuku tinggal bersama kerana tiada siapa yang akan menjaganya bila aku pergi kerja. Namun selepas pernikahan ini, aku akan mengambil ibuku dan membawa tinggal bersama-sama denganku. Maduku boleh tolong masakkan makanan dan tengok-tengokkan di waktu siang. Maka tidaklah ibuku keseorangan lagi.

3. Seorang baby – seorang baby yang berumur setahun sebulan akan mendapat belaian dan kasih sayang dari seorang ayah. Nasib dan masa depannya insya-Allah akan terbela.

4. Seorang ibu muda – terlalu muda sebenarnya. Di usia 22 tahun, beliau telah menempohi pelbagai dugaan hidup yang bukan calang-calang orang mampu menghadapinya. Namun beliau yakin semua dugaan ini dari Allah dan setiap kesukaran pasti akan ada kemudahan selepasnya nanti. Maka beliau dihantar untuk menjadi isteri kepada suamiku, untuk diberikan perlindungan dan bimbingan. Sebagai balasan, beliau akan tinggal dirumahku diwaktu siang, tolong masak, mengemas dan membantu apa2 yang patut. Apabila kami pulang dari kerja, sekurang-kurangnya rumahku telah bersih dan kemas dan telah ada makanan terhidang untuk sama-sama kami nikmati.

5. Pada diriku – sebagai seorang penjawat awam, sesekali aku akan berkursus atau ada outstation. Selama ini berat sekali untukku pergi dan meninggalkan suami menguruskan dua orang anak, namun kini dengan adanya pembantu peribadi, aku boleh kemana sahaja menjalankan tugas tanpa sebarang perasaan ragu atau gusar lagi.

6. Suamiku – Bak kata P. Ramlee, ” Senangnya dalam hati, kalau beristeri dua, seperti dunia, ana yang empunya”. Sampai situ sahaja. Kami tidak mengamalkan konsep mesti pandai pembohong dan mesti pandai temberang. Sebaliknya kami ingin hidup dengan penuh kasih sayang dan saling hormat menghormati. Semoga rumahtangga kami diberkati Ilahi.

Mulanya kami berhasrat untuk menyewa 1 rumah teres 4 bilik yang mampu menempatkan kami semua(termasuk ibuku) dalam 1 rumah dan menyewakan rumah yang telah kubeli ini. Namun 5 buah rumah teres yang telah kulawati semuanya tidak memuaskan hati. 4 buah rumah China, semuanya ada anjing di sebelah rumah. 1 rumah melayu dengan keadaan yang memerlukan banyak pengubahsuian. Lalu aku berpendapat tiada rumah yang lebih baik selain dari rumahku sendiri, dan memang aku pun agak keberatan untuk meninggalkan rumah yang baru 2 tahun setengah kubeli dan duduki. Takdir Allah, dalam pada aku kecewa kerana masih gagal menemui rumah yang diingini, tetiba suami memberitahu dalam ‘group whatsapp muslimin kawasan apartmen rumah kami’ ada iklan rumah sewa di blok berhampiran dan di tingkat bawah. Dalam hujan lebat aku pergi ke blok berkenaan. Dan betul ada no telepon ditingkap. Lalu terus aku call. Esoknya agen berkenaan datang. Selepas berpuas hati, malam tuh juga kami bayar duit booking rumah berkenaan. Jadi sebagai kesimpulan. Kami masih tinggal di Aparment yang sama, blok yang berhampiran. Maduku akan tinggal dirumahku di waktu siang. Diwaktu malam selepas makan dan solat Isya, dia dan anaknya boleh jer pulang ke rumahnya dengan berjalan kaki sahaja. Dan suamiku boleh pergi kemana-mana antara dua rumah dengan berkain pelekat sahaja. Yang penting aku tak perlu pindah keluar dari rumahku. Adam masih boleh bermain dengan kawan-kawan sepermainannya sekarang. Maka nikmat Allah yang mana yang ingin kamu dustakan..

Pastinya ramai yang ada persepsi negatif bila suami kawin lain. Samaada isteri pertama tidak pandai melayan suami, suami yg kuat seks dan godaan dari isteri kedua. Malah ada yg menuduh suamiku tak sedar diri, rumah kata pergi, kubur kata mari. Untuk makluman, tiada sebarang masalah kami suami isteri, dan suami ku tidak pernah bercinta atau berdua-dua sebelum bernikah. Setiap kali berjumpa, pastinya kami berenam, termasuk aku dan 3 org anak kami. Pertemuan pertama untuk bertaaruf adalah semasa Cuti Tahun Baru China yg lalu.. Selepas itu, bulan Feb dan Mac membuat permohonan berpoligami di mahkamah. Selepas mahkamah memberi kebenaran barulah perkara ini diteruskan.. Tiada istilah curang atau dikhianati di sini, kerana semua yg berlaku dlm pengetahuanku dan aku redha dgn jalan hidup ini. Cuma satu yg ku pegang, kami mudahkan perjalanan hidup maduku dan anaknya.. Mudah2han Allah permudahkan perjalanan hidupku ke syurga nanti.. Apa org lain nak kutuk atau hina, terpulanglah.. Aku nak masyuk syurga dgn Rahmat Allah dan redha dari suami jer.. Bukannya dgn mendengar dan mengikut cakap org lain..

Apa yang suamiku lakukan adalah cuba mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.
1. Nabi Muhammad s.a.w berkahwin ketika berumur 25 tahun dengan Siti Khadijah r.a yang lebih tua dari beliau. Ketika kami berkahwin, suamiku juga berumur 25 tahun dan aku 29 tahun.
2. Nabi berkahwin dengan Saidina Aisyah r.a yang masih muda remaja, begitu juga isteri muda ini juga masih terlalu muda.
3. Rasulullah s.a.w berkahwin dengan janda untuk membantu janda2 dan anak yatim. Dan itu juga yang sedang suamiku lakukan.

Pada yang mengkutuk suamiku dengan kata-kata tua kutuk tak sedar diri, rumah kata pergi, kubur kata mari, bertaubatlah. Apa yg suamiku cuba lakukan hanyalah mengikut sunnah. Jika ada yang cuba mengatakan sunnah Junjungan Nabi Muhammad s.a.w kita sebagai tidak betul. Entah apa yang betulnya, sedangkan di akhirat nanti kita hendak memohon syafaat darinya.

Semoga Allah memberkali kami sekeluarga.. Insya-Allah.. Amin.

http---signatures.mylivesignature.com-54493-396-2750385FA9FA616A8A935A3FDE71FC58

 

 

Leave a Reply

Alih Bahasa
Archives
Networkedblog
Semakin hari semakin sayang
Daisypath Anniversary tickers
Live Traffic Feed